Wednesday 8 February 2017

Amalan Ibu Seorang Mujaddid Ummah


Tulisan oleh : Maulana Abdullah Amir

AMALAN IBU SEORANG MUJADDID UMMAH

Maulana Sayyid Abul Hasan 'Ali Al-Hasani An-Nadwi (1914M-1999M) menulis mengenai ibu Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi di dalam bukunya 'Hadhrat Maulana Muhammad Ilyas aur unki Dīnī Da'wat' (Sejarah Hidup Maulana Muhammad Ilyas dan Usaha Da'wahnya) :-

Ibu Maulana Muhammad Ilyas Șafiyyah ialah seorang hafiżah al-Quran yang amat baik hafalannya. Beliau telah menghafal al-Quran selepas berkahwin ketika menyusukan Maulana Yahya. Hafalan beliau begitu baik dibandingkan dengan seorang hafiz biasa. Menjadi kebiasaan beliau membaca seluruh al-Quran ditambah sepuluh juz lagi pada bulan Ramadhan (iaitu setiap hari 40 juz). Dengan kebiasaan ini, beliau khatam al-Quran 40 kali dalam tiap-tiap Ramadhan. Bacaan diteruskan tanpa sedikit pun menjejaskan urusan rumahtangga dan kerja rumah, bahkan beliau begitu mengambil berat membaca al-Quran sambil tangan terus membuat apa-apa kerja. Amalan beliau dalam bulan selain Ramadhan disamping kerja rumah seperti berikut,

Salawat 5000 kali, wirid Ismu Zat (الله) 5000 kali, Bismillahirrahmanirrahim 1900 kali, wirid Yā Mughnī 1100 kali, Lā ilāha illāh 1200 kali, wirid Ya Hayyu Ya Qayyūm 200 kali, wirid Hasbiyallāhu wa Ni'mal Wakīl 500 kali, Subhānallāh 200 kali, Alhamdulillāh 200 kali, Allahuakbar 200 kali, Istighfar 500 kali, Ufawwidhu amrī ila Allāh 100 kali, Hasbunallāhu wa Ni'mal Wakīl 100 kali, Rabbi Innī Maghlūbun Fantașir 100 kali, Rabbi Annī Massaniya adh-Dhurru wa Anta Arhamur Rahimīn 100 kali, Lā ilā ha illā Anta Subhānaka Innī Kuńtu min aż-Żālimīn 200 kali.

Selain daripada amalan-amalan di atas, setiap hari beliau biasa membaca satu manzil (sepertujuh) al-Quran (iaitu seminggu sekali khatam dalam bulan selain Ramadhan).

Nota :

1. Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi (1871M-1916M) ialah abang kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi (1885M-1944M). Beliau Hafiz al-Quran ketika berusia tujuh tahun. Khatam al-Quran sekali setiap hari ialah kebiasaan beliau. Beliau merupakan ayah kepada Syaikhul Hadiś Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi (1898M-1982M) yang merupakan pengarang kitab Fadhail Amal, Awjazul Masalik syarh Muwaţţo Imam Malik, dan kitab-kitab lain.

2. Maulana Muhammad Ilyas merupakan ayah kepada Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi (1917M-1965M) yang merupakan pengarang kitab Hayatus Șahābah. Maulana Muhammad Yusuf menjadi pengganti ayahnya selepas kewafatan ayahnya.

3. Maulana Sayyid Abul Hasan 'Ali An-Nadwi merupakan antara ulama yang berşuhbah (berdamping) dengan Maulana Muhammad Ilyas. Beliau amat terkesan dengan peribadi dan usaha da'wah Maulana Ilyas sehinggalah keakhir hayat beliau. Ini juga mendorong beliau menulis buku Biografi Maulana Muhammad Ilyas.

4. Maulana Muhammad Ilyas memulakan usaha Da'wah dan Tabligh pada tahun 1924M.

5. Tidaklah hairanlah dari perut Ibu Șafiyyah ini lahir seorang Mujaddid Ummah yang jutaan manusia melalui perantaraan usaha da'wahnya mendapat cahaya hidayah kembali kepada Allah dan Rasul.

6. Semoga amalan Ibu Șafiyyah ini menjadi inspirasi untuk ibu-ibu pada zaman kita ini. Āmīn

رحمهم الله رحمة واسعة وأسكننا وإياهم فسيح الجنان. آمين

0 comments:

Post a Comment